Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Sarawak sedang menimbangkan untuk menyemak semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) , tahun ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, selepas semakan itu, kerajaan akan mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kawasan baharu yang akan diwujudkan.

Katanya, cadangan itu antara lain mahu mewujudkan kawasan DUN dengan demografi bercampur bagi memastikan perwakilan yang dipilih daripada semua kaum.

“Jumlah sebenar kerusi yang akan ditambah belum dapat ditentukan kerana keputusannya terletak pada SPR, kita (kerajaan Sarawak) cuma mengemukakan cadangan.

“Tetapi kami mencadangkan kawasan pilihan raya yang perlu diwujudkan perlu mempunyai beberapa parameter asas yang penting untuk memastikan perwakilan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Majlis Tertinggi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Pada 1 Januari lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan memaklumkan SPR sedang menimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak.

Kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah pada pada 2016, membabitkan pertambahan 11 kerusi DUN.

Ia sekali gus menjadikan Sarawak mempunyai jumlah kawasan DUN paling banyak di negara ini dengan keseluruhan 82 kawasan manakala Parlimen pula sebanyak 31.

Pada 8 Oktober tahun lalu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, pada konvensyen khas PBB di Betong mengemukakan usul penambahan kawasan Parlimen.

Katanya, penambahan kawasan Parlimen di Sarawak itu selaras dengan hasrat membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kawasan Parlimen di Malaysia.

Justeru, Sarawak harus dipertimbangkan sekurang-kurangnya 12 kawasan Parlimen baharu.

Mengenai calon pengganti Yang Dipertua Dewan Negara selepas kematian Datuk Mutang Tagal semalam, Abang Johari berkata, ia tidak dbincangkan pada mesyuarat berkenaan.

“Yang Dipertua Dewan Negara adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan GPS memang tidak membincangkannya lagi sebagai menghormati mendiang yang baru meninggal dunia semalam,” katanya.-BH Online