Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Mutang Tagal.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah semoga keluarga mendiang tabah dalam menghadapi masa yang sukar itu.

“Pemergian beliau ketika berkhidmat untuk negara. Semoga keluarga mendiang tabah dalam menghadapi masa yang sukar ini. Salam takziah,” titah Seri Paduka Baginda.

Media hari ini melaporkan Mutang yang merupakan Yang di-Pertua Dewan Negara meninggal dunia pada pukul 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Mendiang Mutang menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia pada Isnin lalu dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Mendiang merupakan  orang Dayak pertama yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara sudah pastinya satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.

“Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat selama-selamanya. Semoga keluarga mendiang tabah berdepan dugaan ini,” kata Anwar.

Mutang yang berusia 70 tahun dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 dan mengangkat sumpah pada 19 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE