Kementerian Pendidikan (KPM) merafak sembah titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung langkah proaktif kerajaan untuk memperbaharui silibus mata pelajaran yang dilihat sudah tidak lagi relevan.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pelbagai usaha sedang dilaksanakan kementeriannya untuk memperkasakan sistem pendidikan negara sejajar dengan titah yang disarankan baginda.
Katanya, antara lain adalah usaha menubuhkan enam pasukan petugas khas KPM bagi menambahbaik sistem prasekolah, intervensi kurikulum, memperkukuhkan Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pendidikan digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengukuhan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
“Dalam pada itu, inisiatif intervensi kurikulum juga sedang giat berjalan bagi memastikan keciciran pembelajaran dapat ditangani.
“Untuk jangka panjang, kementerian sudah melancarkan kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang holistik dan relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan,” katanya selepas merasmikan Karnival HIP Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, di sini, hari ini.
Semalam, Tunku Ismail menitahkan supaya silibus mata pelajaran sekolah yang sudah tidak lagi relevan, diperbaharui.
Baginda bertitah, langkah itu menjadi satu keperluan berikutan pendidikan berkualiti adalah asas kemajuan dan penting bagi penyelesaian isu, selain kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi meningkatkan kualiti sistem dan fasiliti pendidikan negara.
“Saya sering tekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada bangsa Johor. Ia adalah asas kemajuan negeri dan penting bagi selesaikan pelbagai isu.
“Pendidikan berkualiti akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi akan datang,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail semalam.-BH Online