Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tan Sri Abdul Hadi Awang dinasihatkan supaya tidak menjadi ahli politik munafik dengan memburuk-burukkan bekas rakan kerjasama apabila tidak lagi sehaluan. 

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Presiden PAS itu sebaliknya perlu menjadi pemimpin politik matang yang mengutamakan ideologi perjuangan.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) turut menggesa Abdul Hadi supaya tidak menggunakan isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) atau menakut-nakutkan orang ramai sebagai pendekatan politik mahu diketengahkan PAS.

“Kalau saya cakap lebih-lebih, orang marah saya tetapi saya rasa sebagai pemimpin politik, paling penting tak bolehlah bersifat munafik. Dulu boleh sekarang tak boleh. Dulu sayang, sekarang tak sayang, tak bolehlah begitu. 

“Boleh tambahkan cawangan (rakan kerjasama) tetapi janganlah tak konsisten, kenapa dulu boleh? Tiada pula isu sama ditimbulkan. Sekarang pasal tidur mimpi lain-lain, semua tak boleh. Itu keputusan kepada kenyataan dialah. 

“Pada saya, ahli politik perlu jadi sangat profesional dan perlu sokong atas dasar ideologi. Kalau kita berikan sokongan atau tidak, kerana elemen menakut-nakutkan, 3R… bagi saya ia bukan suatu pendekatan politik yang matang. 

“Kematangan politik ialah ideologi dan ia berkenaan ideologi. Namun, ketika ini DUN (Dewan Undangan Negeri) adalah berkaitan perkhidmatan dan bagi saya ia mudah,” katanya pada selepas jelajah mesra bersama komuniti Orang Asli di Kampung Tun Razak hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menggesa pengundi di DUN Kuala Kubu Bharu supaya tidak mengundi calon Pakatan Harapan dari DAP, Pang Sock Tao, selain mendakwa parti dianggotai wanita itu mengamalkan pendekatan ekstrem.

Abdul Hadi menerusi amanatnya pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) malam tadi, dilaporkan berkata, DAP yang lahir daripada PAP di Singapura adalah parti ekstrem dan melampau serta mahu merampas kuasa politik secara halus dan licik sehingga boleh menyebabkan kekacauan dalam negara. 

Dalam perkembangan lain, Azalina mempersoalkan pendirian Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mahu memfailkan petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jika PN kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu. 

Ahli Parlimen Pengerang itu turut menyifatkan kenyataan Takiyuddin itu pelik, seolah-olah sudah tahu akan kalah dalam saingan merebut kerusi DUN Kuala Kubu Bharu. 

“Ia (cadangan memfailkan petisyen) hak mereka mengikut Perlembagaan (dan) undang-undang pilihan raya …sesiapa pun boleh fail petisyen. Isunya belum apa-apa terjadi (sudah) mahu fail petisyen. Saya agak pelik, seolah-olah macam sudah tahu kalah, saya tak tahulah. 

“Pada saya adakah bila dia (PN) menang dia mahu fail petisyen juga? Tak boleh ancam-ancam macam itu, saya tak tahu mungkin dia ada sebab dia, tetapi itu hak parti (berkenaan),” katanya. 

Ditanya sama ada Kerajaan Perpaduan juga akan memfailkan petisyen jika kalah pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Azalina bagaimanapun menjelaskan semua pihak yang bersaing merebut kerusi berkenaan perlu menghormati keputusan pengundi. 

“Kalau kita gusari dengan proses demokrasi memilih dalam elemen memberi kewangan bayaran, memberi duit kepada pengundi. Bagi saya tak profesional, tidak begitu adil. 

“Ini kerana, pengundi akan menuntut kepada orang yang mereka undi dan tuntutan berkenaan untuk memberi perkhidmatan kepada mereka,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu. 

Mengenai sokongan Orang Asli terhadap Sock Tao pula, Azalina berkata, sokongan golongan berkenaan adalah positif terhadap calon dikemukakan Kerajaan Perpaduan.-BH Online