Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerjasama awam swasta perlu dipertingkatkan, khususnya bagi pembangunan dan pembangunan semula infrastruktur serta kemudahan sektor perkhidmatan rel negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kaedah itu terbukti berkesan sebagai pemangkin kepada pembangunan negara, malah pelaksanaannya memberikan banyak manfaat kepada rakyat dan kerajaan.

Mengambil contoh pembangunan Menara Sentral Perbadanan Aset Keretapi (RAC), beliau berkata, kaedah itu membantu penjimatan perbelanjaan kerajaan dan pembangunan serta kemudahan yang lebih baik dapat dilaksanakan di atas tanah kereta api dalam masa yang lebih singkat.

“Ini juga adalah satu detik bersejarah bagi landskap industri rel negara dan akan membolehkan RAC untuk menjadi semakin dinamik dan cekap dalam menjana pendapatan yang mampan.

“Menerusi kerjasama ini, kita dapat merealisasikan satu impian yang akan menyalur semula hasil kepada pembangunan sektor rel Malaysia,” katanya ketika perasmian menara itu di sini, hari ini.

Menara Sentral RAC adalah projek usaha sama antara RAC dan Arah Asas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh YTL Corporation Bhd.

Loke berharap kewujudan menara itu dapat membakar semangat warga RAC untuk terus gigih berusaha demi pembangunan industri rel negara.

“Projek usaha sama seperti ini patut dipertingkatkan bersesuaian dengan fungsi RAC sebagai pengurus dan pemilik aset kereta api. RAC harus lebih maju ke hadapan melangkaui aktiviti rutin perniagaannya seperti penyewaan dan pajakan tanah kereta api yang sedia ada,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, RAC dibina di atas kawasan seluas 0.18 hektar dengan kos berjumlah RM125 juta di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, dekat sini.

Ia berupaya menjana pendapatan kira-kira RM7 juta setahun melalui penyewaan ruang pejabat, komersial dan makanan.

“Reka bentuk menara ini mempunyai ciri-ciri moden dan mesra alam daripada segi reka bentuk dan binaan bangunan serta melayakkannya mendapat pengiktirafan pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI),” menurut kenyataan itu. –BERNAMA