Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dan Turkiye sedang mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan perolehan kapal misi pesisir (LMS), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ditemui pemberita selepas melancarkan hab operasi Turkish Aerospace Malaysia (TUSAS Malaysia Sdn Bhd) di sini hari ini, beliau berkata, LMS penting kerana ia merupakan satu daripada kapal digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Insya-Allah kita sedang mengkaji perolehan LMS, adalah penting bagi negara untuk memilikinya (LMS). Kita sedang bincang dengan Turkiye,” katanya. 

Semalam, Bernama melaporkan syarikat pembinaan kapal Turkiye, Turkiye Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM), optimis untuk memeterai perjanjian membekalkan LMS kelompok kedua jenis korvet Kelas Ada kepada TLDM.

Pengurus Besar STM, Ozgur Guleryuz, berkata perbincangan dengan TLDM dan Kementerian Pertahanan mengenai perkara itu selama hampir dua tahun berjalan lancar setakat ini. 

Ditanya jemputan Turkiye untuk Malaysia menjadi rakan kongsi dalam projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya iaitu KAAN, Mohamed Khaled berkata beliau percaya kedua-dua negara boleh meneroka kerjasama bukan sahaja dalam bentuk pesawat tetapi komponennya. 

“Kita beruntung apabila Malaysia mempunyai TUSAS Malaysia Sdn Bhd sebagai rakan dan TUSAS yang kita tahu, dia ada macam-macam, dia hasilkan helikopter, jet pejuang, jet tempur, satelit dan ada macam-macam lagi. Kita percaya akan mampu untuk meneroka pelbagai bidang kerjasama,” katanya.

Mengenai pembukaan Turkish Aerospace Malaysia, beliau berkata, pembukaan hab berkenaan akan meningkatkan kemampuan dan keupayaan negara dalam bidang pembuatan serta teknologi aeroangkasa, dan hab berkenaan telah membuka peluang pekerjaan kepada 120 jurutera tempatan. 

Mohamed Khaled turut memuji kesudian Turkiye untuk berkongsi teknologi dengan Malaysia dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa, sekali gus mencerminkan hubungan istimewa antara kedua-dua negara.

“Kesediaan Turkiye memindahkan teknolgi kepada jurutera muda dengan beri peluang bekerja untuk tingkat kemahiran dalam bidang aeroangkasa… Kita harap usaha ini akan terus berkembang,” katanya.

Turkish Aerospace adalah salah satu pemain industri yang dapat menyumbang untuk merealisasikan sasaran Pelan Tindakan Dasar Pertahanan Negara dan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55 (Capability Development 55). – BERNAMA