Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bakal diumumkan pada 27 Mei ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan calon yang menduduki peperiksaan itu di sekolah, boleh memperoleh keputusan daripada sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.
“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar menduduki peperiksaan.
“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” katanya.
null
KPM juga berkata, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan bermula jam 10 pagi pada 27 Mei sehingga jam 6 petang 2 Jun 2024.
“Calon juga boleh mendapatkan keputusan secara sistem pesanan ringkas (SMS). Untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.
“Sistem ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi pada 27 Mei sehingga jam 6 petang pada 2 Jun 2024,” katanya.
KPM turut mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keputusan SPM 2023.
“Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus cemerlang dan menyumbang khidmat bakti kepada negara pada masa hadapan,” katanya.
Seramai 395,870 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 buah pusat peperiksaan seluruh negara.-BH Online