Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemimpin agama perlu mengambil peranan lebih berkesan dan berani dalam usaha menegakkan keadilan serta keamanan di negara masing-masing serta seluruh dunia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, masyarakat umum sudah muak dan bosan dengan pertelingkahan dalam kalangan pemimpin politik yang tidak mempunyai pegangan moral, nurani dan memahami erti keadilan.

Beliau berkata, pemimpin politik sebegini boleh bercakap dengan suara lantang mengenai hak asasi manusia dan demokrasi, namun ia tidak diterjemahkan seperti diharapkan.

“Kita tidak tahu apa lagi yang boleh dipercayai, jadi biar pemimpin agama mengambil tempat (mainkan peranan). Jadilah (pemimpin) yang lebih berkesan, berani dalam (menyuarakan) pandangan anda termasuk terhadap pengikut anda sendiri.

“Anda mungkin seorang pemimpin Buddha, Hindu, Islam atau Kristian. Keadilan tetap keadilan. Jangan sekali-kali dalam mana-mana agama membenarkan pemimpin yang tidak adil dan melakukan penderaan terhadap sesiapa saja,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia (ICRL) 2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam konteks Malaysia, Perdana Menteri menjelaskan meskipun Islam adalah agama Persekutuan dengan 60 peratus penduduknya menganut agama itu, namun kepemimpinan negara tetap komited untuk memastikan hak penganut agama lain dihormati.

“Kami kekal sebagai umat Islam yang teguh dan berpegang kepada prinsip Islam. Kami mahu keadilan untuk setiap rakyat di negara ini dan mesej ini lantang serta jelas kepada rakan-rakan saya di sini dan di luar negara, di timur dan barat bahawa ini mesti dihormati.

“Sama ada orang Islam adalah majoriti seperti di Malaysia atau minoriti di tempat lain, anda tidak boleh mengharapkan kami untuk melaksanakan keadilan, tetapi sebaliknya anda melakukan penderaan dan ketidakadilan yang kejam di tempat lain. Sudah tentu, yang lebih ketara adalah apa yang berlaku di Gaza,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan ICRL akan menjadi acara kekal di Malaysia bagi mempromosi kefahaman mengenai Islam dan ‘rahmatan lil alamin’ serta menghantar mesej keamanan.

“Anda melihat dalam kalangan Islam, Kristian, Buddha atau Hindu, mendengar perkara yang perlu dilakukan untuk penambahbaikan.

“Saya mendengar dengan rendah diri dan saya mahu mendengar nasihat, kritikan serta cadangan anda,” katanya.

ICRL 2024 menghimpunkan 1,500 peserta terdiri daripada ulama, cendekiawan, pemimpin politik, ahli Parlimen, ahli akademik dan tokoh pemimpin agama Islam dan bukan Islam tempatan serta dari lebih 50 negara luar.

Bertemakan ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ persidangan anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Liga Dunia Islam, Arab Saudi itu bertujuan memupuk semangat keharmonian dalam kalangan penganut pelbagai agama. 

Program sehari itu akan diikuti Majlis Ulama Asia 2024 di ibu negara esok, yang mana-mana kedua-dua program memberi fokus kepada membangunkan wawasan tamadun bersama bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, menangani ancaman pemikiran ekstremis dan mengubah konflik kepada persefahaman, kerjasama dan perpaduan.-BH Online