Sorting by

×

Jemaah Menteri bersetuju supaya Dasar Pengurusan Bencana Negara disemak semula bagi meningkatkan daya tahan, mengukuhkan kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menguruskan bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semakan semula Dasar Pengurusan Bencana Negara tersebut sekaligus bertujuan memastikan ancaman bencana berada pada tahap minimum.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang di peringkat akhir proses semakan semula Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara agar selari dengan keperluan dan evolusi pengurusan bencana yang semakin kompleks.

“Pindaan Arahan MKN No.20 dijangka akan memantapkan lagi pengurusan, lebih-lebih lagi ia merupakan dokumen rujukan utama dalam koordinasi dan mekanisma pengurusan bencana negara,” katanya pada Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut 2023/2024 di ibu negara hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan, kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dikelolakan oleh Nadma bersetuju menyediakan peruntukan awal RM5 juta yang boleh digunakan oleh agensi-agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pengurusan bencana.

Menurut beliau, peruntukan itu bagi melaksanakan program dan latihan berkaitan kesiapsiagaan dan kesedaran komuniti menghadapi bencana termasuk program Pengurusan Risiko Bencana Berorientasikan Komuniti (CBDRM)

Selain, beliau berkata, dasar khusus dalam mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana juga sedang digubal melalui Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara (DRR)

Ujar beliau, dasar di peringkat akhir
penggubalan itu akan menjadi dokumen utama yang menggariskan hala tuju Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya tahan bencana, merangkumi semua sektor termasuk ekonomi, alam sekitar, sosial dan keselamatan.

Sementara itu, beliau memaklumkan, kerajaan sedang memperkemaskan pengiktirafan pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) sebagai Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG)

“Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah memberi persetujuan untuk menyambung mereka yang dipinjamkan daripada beberapa agensi untuk berada di Nadma bagi memperkukuhkan pasukan Smart ini untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun ini dengan beberapa kenaikan elaun dan gaji.

“Selain itu terdapat dua buah negara yang memerlukan khidmat nasihat dan latihan daripada Smart kerana di rantau ASEAN Malaysia merupakan satu-satunya negara ada pasukan Smart dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya. – KOSMO! ONLINE.