Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menoktahkan baki lebih 1,000 ketua isi rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar di Kelantan dalam tempoh dua bulan lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu menoktahkan kemiskinan tegar itu bagi membolehkan mereka mampu membeli makanan dan pakaian.

“Saya minta senarai termasuk dalam kategori miskin tegar dan lebih 1,000 KIR dalam kategori ini. Saya beri tempoh dua bulan untuk menoktahkan perkara ini.

“Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Datuk Azman Ibrahim) kata boleh selesai dalam masa dua bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kerana kerajaan tidak mahu Kelantan ketinggalan dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor yang dapat menoktahkan kemiskinan tegar bulan ini.

“Saya juga tekankan keperluan untuk membina pusat perniagaan bagi tujuan itu (noktah miskin tegar),” katanya.-BH Online