Dana RM10 juta yang diperuntuk di bawah HRD Corp bagi pelaksanaan inisiatif Kemahiran India Malaysia (MISI) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)-Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) akan diguna bagi menyediakan program peningkatan kemahiran kepada golongan belia komuniti itu di negara ini.
KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, program peningkatan kemahiran belia komuniti India akan diterajui oleh kementerian itu menerusi HRD Corp dengan kerjasama MITRA.
“Inisiatif ini akan menekankan latihan dalam bidang kritikal yang memenuhi kehendak industri dan keperluan negara.
“Ini selaras dengan aspirasi 3K KESUMA yang bertujuan untuk meningkatkan Kemahiran, Keberhasilan dan Kebajikan pekerja,” katanya.
Menurut KESUMA, maklumat lanjut mengenai program latihan di bawah MISI akan diumum tidak lama lagi.
Kementerian itu turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung penyediaan geran latihan bagi inisiatif MISI. – BERNAMA