Anak syarikat Unicomp Technology China, Ray Tech (Malaysia) Sdn Bhd membuka kilang kepakaran pemeriksaan X-ray industri pintar pertamanya di Gelang Patah, Johor.
Syarikat teknologi X-ray itu berkata, kemudahan termaju itu akan merevolusikan pengeluaran dan pengedaran peralatan X-ray, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pengimejan X-ray lanjutan di pelbagai sektor dan kawasan di seluruh dunia.
Pengurus Besar Ray Tech, Matthew Loh, berkata kemudahan itu bukan sahaja akan memperkuat keupayaan pengeluaran syarikat, malah mengukuhkan kehadirannya di pasaran serantau dan luar negara sekali gus membolehkannya memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.nullnull
“Kami gembira untuk merasmikan kilang pemasangan X-ray kami di Malaysia, sebagai bukti pelaburan berterusan kami dalam inovasi dan komitmen untuk meningkatkan penggunaan X-ray industri pintar dalam pelbagai sektor,” katanya dalam kenyataan bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.
Menurut syarikat itu, daya penarik Malaysia untuk menarik industri teknologi tinggi memberi petanda baik kepada negara kerana ini membawa teknologi baharu dan peluang pekerjaan.
Pelancaran kilang ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap persekitaran mesra perniagaan Malaysia dan mengesahkan status negara sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk pembuatan bernilai tinggi dan pelaburan berasaskan inovasi, katanya.
“Projek berorientasikan eksport sebanyak 80 peratus ini akan disokong oleh tenaga kerja teknikal Malaysia dengan lebih 95 peratus daripada jumlah tenaga manusia yang terdiri daripada kategori pengurusan, teknikal dan penyeliaan.
“Penciptaan dan pemaparan sinar-X menjangkau lebih daripada sektor perubatan dan kini diperluas kepada automotif, semikonduktor elektronik, bateri litium, keselamatan awam, pengesanan objek asing dan ujian tanpa musnah,” katanya.
Menurutnya, antara pelanggan terkenalnya adalah Xiaomi, Tesla, BYD, Mercedes, BMW dan Honda.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Pemudahan Pelaburan MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja, berkata kemudahan baharu itu menandakan langkah ke hadapan yang penting bagi industri dan menjanjikan pelbagai peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat.
“Kami teruja menjangkakan pertumbuhan dan kejayaan yang akan dihasilkan oleh pelaburan ini,” katanya.
Pencapaian ini memperlihatkan kepercayaan syarikat terhadap cadangan pelaburan jangka panjang negara dan keyakinan pelabur tempatan dan global di Malaysia sebagai destinasi pelaburan mampan pilihan, katanya.-BERNAMA