Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang antaranya memberi tumpuan kepada persefahaman menggerakkan pembangunan negara, fokus kepada ekonomi dan kebajikan rakyat. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya kini masih merangka draf MoU terbabit untuk diserahkan kepada pembangkang secepat mungkin.

“Sekarang ini tengah merangka MoU, apabila sudah siap nanti, kita akan beri kepada pembangkang dan untuk mereka menilai sama ada kita perlu lagi perbincangan selepas itu. 

“Kalau mereka bersetuju, tak bersetuju, apa yang tak dipersetujui dan sebagainya, kita akan beri perkembangan nanti,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Sri Satria hari ini. 

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menteri Kabinet. 

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri Rabu lalu pada dasarnya bersetuju untuk mengagihkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan draf MoU dirangka terlebih dahulu. 

Susulan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Perikatan Nasional (PN) menyambut baik keputusan kerajaan bersetuju memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang. 

Bagaimanapun katanya, PN akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat dalam draf MoU yang sedang disiapkan kerajaan.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa MoU terbabit sebenarnya tidak diperlukan jika kerajaan ikhlas mahu menyalurkan peruntukan, Fadillah enggan memberi sebarang kenyataan. 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan apa yang dilaksanakan kerajaan adalah kaedah MoU kerana kerajaan terdahulu juga pernah memeterai perjanjian bagi menyalurkan peruntukan. 

“Sekarang ini MoU nak dilaksanakan, kalau ikutkan tak perlu pun, kerajaan sudah ada dua pertiga tetapi mengapa perlukan lagi perjanjian. 

“Itu yang kita nak laksanakan, supaya akhirnya dengan ada perjanjian itu, kita akan ada persefahaman. Persefahaman untuk menggerakkan pembangunan negara, memfokuskan kepada ekonomi dan kebajikan rakyat, itu sahaja,” katanya. 

Ditanya pula sekiranya isu MoU akan dimainkan pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, beliau berkata, itu adalah perkara biasa dalam politik. 

“Yang penting ialah keikhlasan kita untuk mempertimbangkan (MoU) dan secara prinsip sudah dipersetujui. 

“Jadi sekarang ini, untuk kita rangkakan MoU supaya kita ada agenda bersama dalam membangunkan negara, memulihkan ekonomi dan paling penting kesejahteraan rakyat, dari segi kestabilan, keamanan, itu amat penting,” katanya.-BH Online