Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Khazanah Nasional akan melancarkan ‘National Fund-of Funds’ dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif.

Perdana Menteri berkata, dalam pengumuman Belanjawan Malaysia MADANI 2024 pada Oktober lalu, beliau menggariskan komitmen kerajaan untuk membantu syarikat Malaysia membabitkan usahawan Bumiputera, syarikat baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus meningkat.

“Kerajaan juga menyasarkan untuk memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Penjana Kapital di bawah Khazanah.

“Dalam hal ini, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Khazanah Nasional akan melancarkan “National Fund-ofFunds” dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak KL20 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada acara sama, Anwar turut melancarkan Kertas Tindakan KL20, sebuah pelan hala tuju menyeluruh yang menggariskan inisiatif pembaharuan ketara untuk mencapai titik penyatuan dalam kalangan pemegang taruh utama iaitu pengasas, pemodal teroka, bakat, inkubator dan pemacu, bagi memacu sektor teknologi pemula Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.

Sidang kemuncak itu bertindak sebagai platform perbincangan penting yang menemukan pembuat keputusan kerajaan, pengasas syarikat pemula gergasi (unicorn), pelabur besar dan pemikir di Kuala Lumpur, menjadikannya medan utama untuk perbincangan, debat dan membuat perjanjian.

Sidang Kemuncak KL20 turut menyaksikan pengenalan beberapa inisiatif penting bertujuan memudahkan lagi akses kepada bakat (Visa Green-laning), menjadikan pelaburan dan penyumberan tawaran lebih kerap (VC Golden Pass) serta menjadikan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) lebih matang (Graphical Processing Units Installation).

Perdana Menteri berkata, negara terus menyaksikan aliran keyakinan berterusan daripada pelabur di semua bahagian ekosistem permulaan membabitkan 25 syarikat yang akan memberi peluang sebenar kepada Malaysia mencipta usaha niaga teknologi canggih.

“Pelaburan hari ini antara lain membabitkan dana kekayaan negara, Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Blue Chip Venture Capital yang akan melabur sehingga RM3 bilion dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN.

“Sebanyak 12 firma modal teroka antarabangsa akan menubuhkan pejabat dan dana baharu di Kuala Lumpur dengan saiz aset di bawah pengurusan melebihi berbilion-bilion dan rekod prestasi pelaburan yang cemerlang.

“Ini membolehkan penemuan syarikat pemula Malaysia yang baik dan dipupuk untuk berjaya pada peringkat global,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, syarikat berteknologi tinggi juga akan menubuhkan operasi, kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta ibu pejabat serantau mereka, untuk melayani pasaran Asia dan Asia Tenggara.

“Bagi aspek bandar di Asia akan bekerjasama sebagai bandar berkembar inovasi dalam bidang seperti penubuhan perniagaan yang dipercepatkan, penyelarasan peraturan serta peningkatan ketersambungan dan mobiliti,” katanya.

Anwar berkata, dalam semikonduktor, pegangan besar Malaysia di bahagian belakang menjadikannya kondusif untuk meneruskan kerja bahagian hadapan bernilai tinggi, terutama dalam kategori reka bentuk Litar Bersepadu (IC).

“Disebabkan itu pada hari ini (semalam), saya dengan sukacitanya mengumumkan taman reka bentuk IC terbesar di Asia Tenggara, yang akan menempatkan penyewa utama bertaraf dunia dan bekerjasama dengan syarikat global seperti ARM.

“Ini dilakukan dengan sokongan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC), dengan kerajaan Selangor, dan menjadi bukti bahawa momentum sedang dibina dengan rancak,” katanya.-BH Online