KUALA LUMPUR: Seramai 2,553 mangsa banjir daripada 769 keluarga ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri, setakat jam 7 pagi ini.
Negeri yang terjejas banjir ialah Perak, Selangor, Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan.
Berdasarkan data terkini portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor kembali menjadi negeri tertinggi merekodkan mangsa banjir dengan 1,393 orang daripada 367 keluarga yang kini ditempatkan di 11 PPS di tiga daerah.
Di Perak, 1,039 mangsa daripada 368 keluarga ditempatkan di 10 PPS membabitkan lima daerah.
Di Melaka, seramai 56 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di dua PPS di dua daerah.
Negeri Sembilan merekodkan seramai 58 mangsa daripada 17 keluarga yang dipindahkan ke dua PPS di satu daerah, manakala Sarawak, tujuh mangsa daripada sebuah keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS, juga di satu daerah.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam perkongsian di Facebook mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak sehingga jam 10 pagi ini.
Amaran itu dijangkakan membabitkan beberapa kawasan di Sarawak iaitu Sibu, Kuching (Kuching), Samarahan, Betong, Sri Aman, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Mukah (Daro dan Tanjung Manis), Sarikei, Serian (Serian dan Siburan).
Di Sabah ia membabitkan Tawau (Semporna, Tawau dan Kunak), Sandakan (Paitan, Labuk & Sugut, Sandakan dan Kinabatangan). -BH Online

