Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tempoh sehingga hujung tahun ini diberikan kepada semua peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk membuat bayaran balik tunggakan pembiayaan tabung berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata tempoh itu diberikan selepas mengambil kira faktor usahawan yang masih bertungkus lumus membangunkan semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara pada 2020.

“Memang setiap hari ada (peminjam) tampil buat pembayaran, tetapi kita kena bagi masa sebab mereka masih berusaha keras.

“Tahun ini juga kita sasarkan untuk turunkan jumlah peminjam tak bayar pembiayaan kepada satu digit,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya TEKUN 2024 di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Pengerusi TEKUN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bagi memastikan agenda menurunkan jumlah peminjam gagal bayaran pembiayaan TEKUN Nasional kepada satu digit berjaya dicapai.

Pada 2 Mac lalu, Ramanan dilaporkan berkata 137,520 peminjam TEKUN Nasional mempunyai tunggakan pembiayaan melebihi enam bulan, dengan jumlah keseluruhan RM1.1 bilion sehingga Januari tahun ini.

Merujuk jumlah permohonan pembiayaan TEKUN untuk tahun ini pula, Ramanan berkata kira-kira 30,000 permohonan telah diterima setakat bulan ini.-BH Online