Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia menyatakan minat menjadi tuan rumah Seatrade Cruise Asia 2026 bagi menzahirkan keazaman dalam mempromosikan industri pelayaran sebagai pemangkin ekonomi yang berpotensi untuk negara, kata Kementerian Pengangkutan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjadi Menteri Pengangkutan pertama negara menghadiri persidangan tahunan Seatrade Cruise Global 2024 di Miami, Florida, menyatakan hasrat itu selepas menghadiri persidangan empat hari bermula 8 April lalu.

“Loke menyampaikan kesungguhan Malaysia untuk menjadi destinasi pelayaran utama melalui delegasi ke Seatrade Cruise Global 2024,” katanya dalam kenyataan semalam.

Seatrade Cruise Global adalah persidangan tahunan yang mengumpulkan pakar industri daripada 80 syarikat pelayaran dari 120 negara.

Katanya, Loke turut mempelawa pengendali kapal pelayaran yang menghadiri persidangan itu memanfaatkan infrastruktur pelabuhan pelayaran di Malaysia antaranya Langkawi Cruise Terminal, Swettenham Pier Cruise Terminal di Pulau Pinang, Port Klang Cruise Terminal, Melaka International Cruise Terminal dan beberapa pelabuhan di Sabah serta Sarawak di sepanjang pesisiran Laut China Selatan.

Kementerian itu memaklumkan industri pelayaran dapat membantu pembangunan rantaian bekalan hijau di Malaysia, termasuk ‘ shore power’ dan ‘green bunkering’ atau penyediaan bahan api lestari selaras sasaran pelepasan sifar bersih di bawah Strategi Pertubuhan Maritim Antarabangsa mengenai Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau dari Kapal.

“Kementerian Pengangkutan juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menjadikan Malaysia destinasi ‘homeport’ yang terpilih di rantau Asia-Pasifik.

“Kerjasama itu diwujudkan mengambil contoh permintaan untuk pelancongan pelayaran yang tumbuh dengan pesat di China dan sedang berkembang di India

“Kepelbagaian budaya Malaysia dan rantau ASEAN sememangnya boleh menawarkan pengalaman bercuti yang menarik kepada pelancong China dan India,” katanya.

Katanya, kementerian itu optimis kepesatan pelancongan pelayaran dapat memberi kesan kepada limpahan ekonomi bagi peruncitan, makanan, minuman dan perhotelan di negara ini. – BERNAMA