Sorting by

×

Kerajaan Perpaduan sudah mempunyai calon yang akan mewakili mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei nanti.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata senarai calon itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, melalui Mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai jumlah calon yang dikenal pasti sebelum ia diputuskan pimpinan tertinggi.

“Kita mahu identiti calon itu tidak mewakili kepartian tetapi lebih menyeluruh mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Sebab kalau kita letakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan, ia akan menghasilkan tanggungjawab bersama yang lebih kuat untuk mendorong kerja jentera kita nanti berbanding kalau kita letak identiti kepartian.

“Kita hendak bawa adalah kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan. Jadi kita tidak menamakan sebab ini bukan dalam bidang kuasa kita. Kuasa di peringkat kepemimpinan tertinggi parti,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi membincangkan persediaan PRK Kuala Kubu Baharu. 

Turut menyertai mesyuarat itu, antaranya Ketua Sekreteriat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim hadir sama pada mesyuarat itu.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, beberapa perkara lain turut dicapai antaranya individu yang akan bertanggungjawab menyelaras jentera Kerajaan Perpaduan bagi PRK Kuala Kubu Bharu itu nanti, melalui mesyuarat terbabit. 

Beliau berkata, persiapan rapi juga dilakukan termasuk penyediaan data dan strategi. 

Katanya, mesyuarat itu turut memperhalusi semua trend pengundian di 16 daerah di DUN Kuala Kubu Baharu.

“Kita sudah mencapai beberapa keputusan antaranya menamakan individu bertanggungjawab bagi menjalankan jentera kempen selain menyelaraskan isu peringkat nasional dan negeri. 

“Kita kaji profil kawasan, peratusan pengundi Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kita profilkan pula dari segi garis pendapatan, tahap pendidikan, bekerja di sektor kerajaan atau swasta,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon. 

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.-BH Online