Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia komited untuk menjayakan transformasi Kesihatan Planet bagi menangani impak gangguan manusia terhadap sistem semula jadi bumi, kesihatan manusia dan semua hidupan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly, berkata kesihatan planet ialah sebuah gerakan sosial dan bidang rentas

disiplin berorientasikan penyelesaian serta selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri. 

Katanya, nilai-nilai itu meletakkan kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan sebagai salah satu daripada enam nilai teras.

“Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan di Parlimen pada Jun 2023, menggariskan rangka kerja berwawasan bagi

sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan, saksama dan berorientasikan individu.

“Menerusi program kelestarian Kementerian Kesihatan (KKM), aspek penting daribRangka Tindakan Fasiliti Kesihatan Neutral Karbon dilancarkan tahun lalu. Kita mulakan dahulu dengan menyahkarbonkan sektor penjagaan kesihatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Mesyuarat Tahunan Ke-6 dan Sidang Kemuncak Kesihatan Planet (PHAM) 2024 di Universiti Sunway, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Presiden Universiti Sunway, Prof Sibrandes Poppema dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Hao Liang Xu.

Dr Dzulkefly berkata, beberapa pencapaian ketara yang diraih KKM bagi Kesihatan Planet, antaranya adalah penjimatan sebanyak 897 Gigawatt-jam elektrik iaitu pengurangan sebanyak 702,000 tan pelepasan karbon.

Katanya, langkah itu memberikan penjimatan kos sebanyak RM377 juta.

“Kita sedar bahawa tiada satu pun negara, kementerian atau organisasi yang boleh menyelesaikan secara sendiri, isu membabitkan keterjaminan makanan, peningkatan penyakit berjangkit, pencemaran alam sekitar atau sebarang cabaran kesihatan planet yang besar.

“Kerjasama adalah penting dan inilah sebabnya kami gembira dapat bekerja bersama-sama serta mengalu-alukan lebih banyak negara atau serantau organisasi yang berfikiran sama seperti Malaysia dalam sidang kemuncak ini,” katanya.

Sidang kemuncak dan mesyuarat tahunan kali ini yang bertemakan ‘Bukti Disusuli Tindakan: Mendepani Realiti’ diadakan buat julung kalinya di Malaysia dan Asia Tenggara bagi mengiktiraf kepentingan benua Asia yang dihuni lebih separuh populasi manusia. 

Bertujuan menjadi wadah yang menyatukan komuniti sejagat dalam bidang Kesihatan Planet, lima acara sebelum ini di Amerika Syarikat, Scotland, dan Brazil mengumpulkan ribuan pemimpin dari lebih 130 negara.

Tema tahun ini juga memberi penekanan bahawa untuk menjayakan transformasi yang diperlukan, pengamalan bidang sains harus dirangka semula untuk tindakan yang praktikal; disampaikan dengan cara yang mudah

difahami oleh orang awam; dan untuk tindakan susulan oleh pembikin dan pelaksana dasar.-BH Online