Sorting by

×

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan sekiranya ada keperluan untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Asia Barat. 

Dalam satu kenyataan, KPT memaklumkan setakat ini 1,917 pelajar berdaftar dengan kementeriannya.

Daripada jumlah itu, seramai 1,872 orang berada di Jordan, 37 orang di Syria, lapan pelajar di Iran dan tiada pelajar Malaysia di Lebanon serta Iraq, ketika ini.

“KPT mengambil maklum situasi terkini pergolakan yang berlaku di Asia Barat yang membabitkan Iran dan Israel serta secara tidak langsung memberi tempias kepada negara sekitarnya seperti Jordan, Syria, Lebanon dan Iraq.

“KPT sedang memantau perkara ini secara langsung menerusi pejabat Education Malaysia (EM) di Jordan dan Dubai serta sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan bagi mendapatkan perkembangan terkini dan tindakan lanjut yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Kor Pengawal Revolusi Iran memulakan operasi serangan dron, menyasarkan lokasi di dalam wilayah yang diduduki Israel.

Maklumat lanjut, hubungi Kedutaan Malaysia di Tehran di talian (+9821) 88072444 (+9821) 88078606 atau Kedutaan Malaysia di Jordan (+962) 6590 2400 (+962) 78590 2400.

“Rakyat Malaysia khususnya pelajar Malaysia di negara berkenaan dinasihatkan untuk terus bertenang, sentiasa berwaspada dengan situasi semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa. Semoga krisis ini akan segera menemui jalan penyelesaian dan keadaan kembali aman,” katanya.-BH Online