Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kebakaran hutan berskala besar membabitkan tiga lokasi di negeri ini sejak akhir bulan lalu, semakin pulih dengan operasi pemadaman kini ditumpukan di kawasan Rompin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata operasi memadam kebakaran hutan kawasan Jabatan Pertanian Inderapura yang membabitkan kira-kira 320 hektar hutan tanah gambut, ditamatkan sepenuhnya pada Selasa lalu selepas lebih 10 hari kerja pemadaman dilakukan.

Beliau berkata, kebakaran hutan tanah gambut seluas 110.5 hektar di Gebeng juga semakin pulih apabila 99 peratus kebakaran berjaya dipadamkan, dan operasi pemadaman di kawasan terbabit dijangka ditamatkan hari ini sekiranya tiada kebakaran baharu berlaku.null

“Di Rompin pula, hasil tinjauan udara yang dilakukan mendapati masih ada kebakaran tetapi tidak besar seperti sebelum ini. Kita akan menggunakan kaedah bom air dan ‘direct attac’ di kawasan itu, hari ini,” katanya kepada media.

Dalam pada itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, hujan di daerah Kuantan dan Rompin sejak Selasa lalu turut membantu usaha anggota bomba dan penyelamat yang bertungkus lumus sejak beberapa minggu lalu untuk memadamkan kebakaran hutan gambut, belukar serta ladang di tiga lokasi berkenaan.

Terdahulu, Bernama dan TV3 berkesempatan melakukan tinjauan udara dengan menaiki helikopter MI17 bersama Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani, di kawasan hutan terbakar Inderapura serta Gebeng.

Dua helikopter telah disediakan Bahagian Udara, Ibu Pejabat JBPM, susulan lawatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyarankan penggunaan helikopter untuk operasi bom air di kawasan yang tidak mempunyai akses mengawal kebakaran daripada merebak.

Baginda bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke pos kawalan Bomba Inderapura Jaya pada Isnin lalu untuk meninjau dan mendengar sembah taklimat berhubung kebakaran hutan di negeri ini.

Helikopter jenis MI17 digunakan sejak semalam untuk memadam kebakaran di Gebeng dengan diketuai Penolong Penguasa Bomba JBPM, Amir Fitri Salim, manakala helikopter jenis Agusta digunakan di Rompin dengan diketuai oleh Khirulnizam Jamaludin.

Walaupun dalam suasana Aidilfitri, Wan Mohammad Zaidi berkata, JBPM terus komited memantau secara berkala situasi kebakaran yang berlaku, berikutan cuaca panas yang dijangka berpanjangan.

“Tiada istilah cuti ketika perayaan Aidilfitri ini buat JBPM. Namun, kita mengharapkan kerjasama masyarakat untuk tidak melakukan sesuatu yang berisiko sehingga menyebabkan berlaku kebakaran, khususnya ketika negara masih dalam fenomena El Nino dan mudah terdedah kepada kebakaran hutan.

“Musim tidak menentu sebab sekarang masih Monsun Barat Daya, iaitu dalam keadaan El Nino… kita akan mengalami cuaca panas panjang lagi.

“Justeru, sebaik-baiknya masyarakat memainkan peranan. Jika melakukan pembakaran untuk berkebun, pastikan ia dalam kawalan dan dipadamkan dengan betul,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai yang melakukan aktiviti memancing atau berburu, agar memadamkan puntung rokok atau unggun api dengan betul bagi memastikan tiada bara api kerana bahan kering seperti rumput dan daun mudah terbakar tanpa kawalan.

Wan Mohammad Zaidi sekali gus memaklumkan sepanjang Januari lalu hingga kini, sebanyak 712 kes kebakaran terbuka direkodkan di Pahang, dengan 635 kes membabitkan belukar/lalang, hutan (42), sampah (28) dan kebun/ladang (tujuh). – BERNAMA