Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterimanya pagi tadi.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kira-kira jam 5 petang tadi.
Ketika ditemui, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan EXCO Melaka, berkata laporan dibuat bagi melindungi keselamatan diri dan keluarga daripada ancaman.
“Mula-mula saya tak nak buat tetapi apabila ada satu laporan mengenai perkara ini, saya fikir ia perkara yang serius untuk saya melindungi keselamatan ahli keluarga.
“Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan kita tunggu apa keputusannya selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin hari ini mendakwa menerima ugutan bunuh daripada pihak tidak dikenali.
Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, beliau mendakwa ugutan bunuh itu dimaklumkan oleh seseorang yang menghubunginya ketika dalam perjalanan ke satu program di Lipat Kajang, di sini pagi tadi.
Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan kelantangan beliau dalam memperkatakan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah sejak kebelakangan ini.-BH Online