Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tiada keperluan kuasa pemantauan harga barang diturunkan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata setakat ini KPDN sudah menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan dengan cemerlang bagi mengatasi isu kenaikan harga barangan di pasaran.

“Negara kita ada rukunnya, ada juga sistem. Kuasa (pemantauan) KPDN sekarang berjalan dengan baik di mana dari segi pelaksanaannya perlu dipertingkatkan.

“Saya yakin di bawah pimpinan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, usaha ini akan diperhebatkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Dewan Perhimpunan Cina di Jalan Yeop Abdul Rani, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, semalam, yang mencadangkan kerajaan khususnya KPDN supaya penurunan kuasa pemantauan kepada agensi penguat kuasa lain seperti PBT. 

Dr Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, dilaporkan berkata langkah itu bagi membolehkan pemantauan harga barang dilakukan lebih kerap terutama menjelang musim perayaan.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata PBT tidak akan membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen premis perniagaan termasuk kedai runcit dan pasar selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja.

Beliau berkata, senario pendatang asing menguasai perniagaan contohnya di Pasar Borong Kuala Lumpur; Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Johor Bahru sememangnya menuntut pemantauan dan kawalan pihak penguat kuasa secara berterusan.

“Namun, kita tak menolak kemungkinan, itu bukan pemilik (lot perniagaan), mereka adalah pekerja asing yang sah bekerja dekat pasar borong.

“Kadang-kadang dia beri persepsi seolah-olah gerai itu milik mereka. Sebenarnya tidak, dia diupah untuk jadi pekerja dan memang ada permit untuk bantu. 

“Apabila rakyat tak ambil peluang untuk bekerja dalam sektor 3D (sukar, kotor dan bahaya), maka warga asing ada ruang dan peluang untuk mengambil peluang pekerjaan itu,” katanya.-BH Online