KUALA LUMPUR: Microsoft Elevate yang dilaksanakan oleh Microsoft berjaya memperkasakan 80,000 peserta setakat ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu dalam memperkukuh pembangunan digital dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Komitmen gergasi teknologi dunia itu termasuk sasaran melengkapkan 800,000 rakyat dengan kemahiran AI menerusi inisiatif AIForMYFuture serta memperkasa 1.53 juta rakyat melalui program Bersama Malaysia merangkumi kemahiran awan, AI dan keselamatan siber.
Pelancaran Microsoft Elevate, inisiatif membina kapasiti kecerdasan buatan (AI) negara yang diperluas dengan matlamat mengukuhkan tahap kesediaan AI Malaysia, adalah sejajar dengan cita-cita untuk menjadi Negara AI 2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata komitmen Microsoft bersama kerajaan adalah sejajar dengan usaha Malaysia untuk menjadi hab AI serantau, menjadikan elemen penting dalam pembangunan keupayaan digital yang merangkumi semua lapisan masyarakat.
“Untuk memastikan kemajuan yang bermakna di peringkat nasional, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta perlu diperkukuh.
“Justeru, kami mengalu-alukan Microsoft Elevate, inisiatif yang disokong oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan Sekretariat Majlis TVET Negara serta dilaksanakan oleh Biji-Biji Initiative & Mereka dalam memperkukuh kesediaan AI dan keterangkuman digital agar rakyat Malaysia bersedia menghadapi masa depan yang berteraskan AI,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Microsoft Elevate di Putrajaya, hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Hal Ehwal Undang-Undang & Kerajaan Microsoft ASEAN, Dr Jasmine Begum; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Biji-Biji Initiative & Mereka, Rashvin Pal Singh.
Microsoft Elevate dilaksanakan dengan kerjasama NAIO, Sekretariat Majlis TVET Negara serta Biji-Biji Initiative & Mereka, usaha yang mencerminkan komitmen seluruh negara demi memastikan setiap segmen masyarakat Malaysia bersedia untuk era AI.
Inisiatif itu meluaskan skop agenda kemahiran negara merangkumi golongan pendidik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pesara angkatan tentera, institusi pendidikan serta penjawat awam.
Pendekatan itu mencerminkan usaha seluruh negara bagi memastikan setiap segmen masyarakat bersedia menghadapi era teknologi berasaskan AI.
Microsoft Elevate dirangka untuk mengembangkan peluang peningkatan kemahiran atau ‘upskilling’ di Malaysia menerusi pelan berfasa sehingga 2030.
Pelaksanaannya bermula dengan pengaktifan kemahiran dan tenaga kerja sebelum berkembang ke arah pendalaman sektor serta penginstitusian dan kemampanan jangka panjang.
Dalam pada itu, Jasmine berkata, AI hanya mampu menghasilkan nilai sebenar apabila ia difahami dan digunakan secara bermakna oleh semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, teknologi bertindak sebagai pencetus, manakala impaknya bergantung kepada cara individu, organisasi dan institusi menggunakan AI secara praktikal, dipercayai dan relevan dengan keperluan dunia sebenar.
Katanya, Microsoft Elevate dirangka untuk membina keupayaan mengikut skala serta menyokong komuniti, perusahaan dan institusi sektor awam mengguna pakai AI dengan yakin dan bertanggungjawab.
“Menerusi program ini, kami berusaha memastikan cita-cita AI Malaysia tercapai dengan mencetus impak jangka panjang, membolehkan lebih ramai individu mendapatkan kemahiran, akses dan sokongan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi AI,” katanya.-BH Online
