Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan melanjutkan tempoh subsidi penerbangan dari tiga hari kepada empat hari menjelang sambutan Aidilfitri bermula 6 hingga 9 April ini. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, pendekatan itu diambil berdasarkan keperluan orang ramai bagi pembelian tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan atau sebaliknya sepanjang empat hari itu yang tidak melebihi RM599.

Bagi harga tiket asas, katanya, sebarang kos melebihi harga maksimum akan ditanggung kerajaan tidak termasuk cukai dan fi untuk penerbangan pergi sahaja.

Katanya, harga maksimum itu boleh membantu penumpang yang terpaksa membeli tiket pada saat akhir atau di laluan yang mempunyai permintaan yang tinggi dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Bagaimanapun, penumpang boleh mendapatkan harga lebih murah sekiranya merancang perjalanan lebih awal,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Pada 15 Disember lalu, MOT melancarkan inisiatif bantuan subsidi sempena musim perayaan untuk penerbangan antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menerusi inisiatif itu, kerajaan menanggung kos tiket penerbangan sehala melebihi RM599 untuk tiga hari dan penambahbaikan itu dijangka memberi implikasi kewangan tambahan sehingga RM1.8 juta.

Loke berkata, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif lain termasuk memudah cara penambahan penerbangan bagi Aidilfitri.

“MOT melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah memudah cara sebanyak 342 penerbangan domestik tambahan di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April ini. 

“Strategi ini menunjukkan kesan positif yang mana lebih banyak tiket penerbangan terutama bagi laluan dari Kuala Lumpur ke destinasi utama di Sabah dan Sarawak dijual pada harga lebih murah.

“Pada 4 Mac lalu, AirAsia memberi kerjasama dengan menawarkan 22,000 tiket penerbangan pada harga tetap RM298 sehala untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sarawak dan RM348 sehala untuk Kuala Lumpur ke Sabah,” katanya.

Loke berkata, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut menerima sambutan baik di Semenanjung dan enam perkhidmatan tren ETS tambahan turut disediakan bermula 4 hingga 15 April.

Katanya, perjalanan membabitkan masing-masing dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral, dua perkhidmatan laluan KL Sentral-Butterworth -KL Sentral dan dua perkhidmatan ekspres laluan untuk KL Sentral-Ipoh-KL Sentral.

Katanya, perkhidmatan tambahan ETS itu menawarkan 1,260 tiket sehari, menjadikan jumlah keseluruhan tambahan sebanyak 15,120 tiket termasuk tren ekspres. 

“Jumlah keseluruhan tiket ETS ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri ini adalah 135,000 tiket,” katanya. 

Bagi penumpang ke Pantai Timur, katanya, KTMB menyediakan dua perjalanan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya sebanyak 952 tiket.

Katanya, tren khas ELA akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.-BH Online