Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar RM300 kepada peneroka FELDA berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bantuan khas itu akan dibayar kepada setiap peneroka di 317 tanah rancangan FELDA seluruh negara sebelum Aidilfitri.

Ahmad Zahid berkata, kumpulan itu juga bersama kelompok peneroka berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 akan menikmati penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.

“Saya berharap pihak pengurusan FELDA dapat melaksanakan (pengagihan bantuan khas ini) sebelum Aidilfitri dan memastikan tiada yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Warga FELDA di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA Trolak, di sini.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata MRSM FELDA Trolak yang juga MRSM kelima di Perak turut menerima peruntukkan RM280,000 melalui Tabung Khas Penyelenggaraan IPMA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Sementara itu, beliau berkata FELDA menyasarkan sekurang-kurangnya 50 orang anak tanah rancangan itu menyambung pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) khusus dalam kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada sesi pengambilan akan datang. 

Beliau berkata, tahun lalu UniKL sebagai salah satu Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menerima 29 anak FELDA termasuk 13 orang di peringkat ijazah dan 16 orang peringkat diploma.

“Saya ingin menawarkan untuk lebih ramai anak FELDA khususnya generasi empat dan lima untuk menyertai UniKL bagi menyertai industri termaju termasuk bidang telekomunikasi, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI), industri aeroangkasa, marin dan rel.

“Insya-Allah pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membantu dari segi kesesuaian pinjaman pelajaran,” katanya. – BH Online