Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembaziran ketika berbelanja di Bazar Ramadan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi (MUST) memaklumkan, 22 juta umat Islam berbelanja membabitkan nilai RM5.4 bilion di bazar pada Ramadan tahun lalu.

“Jumlah itu disifatkan sangat tinggi memandangkan ianya hanya membabitkan tempoh sebulan sahaja.

“Berbelanja itu pastinya boleh tapi sentiasa ingat, jangan kita membazir dan ia bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam bersederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Bazar Ramadan menjadi pemangkin kepada Bumiputera dan akhir-akhir ini pihaknya mendapati harga kuih muih dan makanan meningkat.

“Bagaimanapun kita mengakui peniaga Bazar Ramadan juga perlu dibantu. Justeru, saya menasihatkan supaya kita berhati-hati dalam perbelanjaan dan simpan juga perbelanjaan untuk masa hadapan,” katanya.-BH Online