Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Negara anggota ASEAN perlu bersiap sedia dan sentiasa responsif terhadap cabaran keselamatan yang semakin berubah.

Pandangan itu disuarakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang menyifatkan cabaran keselamatan serantau sebagai dinamik dan memerlukan semua negara anggota sentiasa bersiap-siaga.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Pertahanan, Mohamed Khaled menyuarakan pandangan itu ketika menghadiri Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Luang Prabang, Laos, hari ini.

Pada sesi terbabit, Mohamed Khaled menekankan kepentingan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus sebagai platform utama mempromosi dialog pertahanan dan keselamatan.

Jelasnya, ia juga penting bagi melaksanakan kerjasama praktikal untuk meningkatkan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.

Pada sesi itu, Mohamed Khaled berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Laos, Jeneral Chansamone Chanyalath.

Kedua-duanya menyentuh mengenai pelbagai isu strategik berkepentingan kepada Malaysia dan Laos termasuk untuk mengekalkan kepusatan dan perpaduan ASEAN.

Turut dibincang, pelbagai bentuk kerjasama yang boleh terus dilaksanakan antara kedua-dua negara dalam bidang pertahanan, khususnya membabitkan kawalan sempadan dan pertukaran pegawai melalui program pembangunan kapasiti.

Selain itu, Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Thailand, Sutin Klungsang, dengan kedua-duanya mengesahkan komitmen untuk meningkatkan kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

Beliau turut mencadangkan Malaysia dan Thailand memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara khususnya dalam bidang pertahanan dan ketenteraan.

Melalui MoU terbabit, pelbagai usaha diterokai secara bersama termasuk bidang sains dan teknologi, perkongsian latihan dan kepakaran serta pembangunan industri pertahanan tempatan.-BH Online