Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa supaya genjatan senjata dilaksanakan serta-merta dan selama-lamanya di Gaza.

Pada sesi pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN-Australia di sini, Anwar mengingatkan pemimpin ASEAN dan Australia bahawa semua negara anggota ASEAN dan Australia telah mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 2023, yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan.

“Kita harus mendesak agar tuntutan ini direalisasikan..segera dan selama-lamanya,” kata Perdana Menteri.

Anwar menegaskan bahawa dari ke hari, situasi di Gaza terus menjadi bertambah teruk, dan setakat ini, lebih daripada 30,000 orang awam Palestin telah terbunuh termasuk lebih daripada 12,000 kanak-kanak, manakala bayi yang tidak berdosa mati kelaparan dan kebuluran hampir pasti terjadi.

“Justeru, gencatan senjata yang segera dan selama-lamanya amat diperlukan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pemberian bantuan kemanusiaan yang selamat, cepat dan tidak dihalang kepada orang awam yang tidak bersalah di seluruh Gaza perlu dibenar serta dipertahankan.

“Malaysia mendesak komuniti antarabangsa supaya mengambil tindakan lebih berani untuk mendesak Israel mematuhi langkah-langkah sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Januari tahun ini dan menggesa semua pihak untuk mencegah tindakan genosid di Gaza,” katanya.

Malaysia juga menggesa supaya negara-negara tidak mendahului keputusan siasatan ke atas tuduhan baru-baru ini yang membabitkan beberapa anggota agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA), selain mempertimbangkan semula hukuman kolektif yang dikenakan serta menggesa agar sokongan kewangan kepada UNRWA dapat dipulihkan, katanya.

Anwar berkata, secara kolektif, ASEAN dan Australia dapat memainkan peranan konstruktif dalam komuniti antarabangsa untuk mencari penyelesaian yang aman dan berkekalan terhadap konflik terbabit.

“Sebagai pelaku negara yang bertanggungjawab, kita terikat oleh Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa untuk mempertahankan prinsip asas demi keadilan.

“Hak untuk menentukan nasib sendiri yang kita tuntut dan hargai untuk diri sendiri juga harus dilindungi dan dipertahankan demi rakyat Palestin,” katanya.

Anwar berkata, pengakhiran pencerobohan Israel ke atas wilayah Palestin yang berlaku selama berdekad adalah penting demi penyelesaian dua negara yang berfungsi, selain keamanan dan keselamatan yang berkekalan di Asia Barat.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa kekerasan Israel telah memburukkan lagi perpecahan dan prejudis antara orang Islam dan orang bukan Islam di seluruh dunia, memburukkan lagi Islamophobia, yang mesti dihentikan.

“Kita harus menyebarkan fakta bahawa apa yang berlaku di Gaza bukan mengenai agama, tetapi krisis kemanusiaan. Kita harus menyokong perbezaan agar masyarakat dapat hidup bersama dalam harmoni,” katanya.-BH Online