PUTRAJAYA: Pengumpulan dan pemprosesan data berkaitan aplikasi navigasi Waze di Israel antara isu keselamatan siber yang dibangkitkan kerajaan, selain persoalan bidang kuasa perundangan sekiranya berlaku pertikaian berkaitan aplikasi itu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu berdasarkan maklum balas Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang disampaikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dibawa ke Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).
Jelasnya, isu terbabit antara faktor kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi berkenaan berkuat kuasa serta-merta terutama membabitkan penjawat awam.
“Perkara yang dimaklumkan turut membabitkan pengumpulan data, pemprosesan data berkait aplikasi terbabit yang dibawa ke Israel. Itu isu besar yang dibangkitkan.
“Kedua, sebarang pertikaian perundangan hanya akan diuruskan melalui mahkamah di Israel,” katanya pada sidang media di sini.
Fahmi berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan dari sudut bidang kuasa perundangan kerana Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan juga memandang serius dakwaan ketirisan data yang dikaitkan dengan aplikasi itu, termasuk laporan data diperoleh pihak tidak bertanggungjawab dan dijual menerusi laman gelap (dark web).
Sehubungan itu, beliau meminta pihak Waze memberikan penjelasan mengenai dakwaan berkenaan, termasuk bagaimana data peribadi boleh diperoleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada data rakyat Malaysia terbabit dalam dakwaan ketirisan berkenaan.
“Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) juga mungkin dirujuk bagi aspek siasatan yang perlu dilakukan, tertakluk kepada proses perundangan,” katanya. -BH Online
