Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung kematian pelajar perempuan Tingkatan Empat di sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, semalam.

Perdana Menteri berkata, siasatan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang.

“Keselamatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris mangsa berhubung kejadian berkenaan.

“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

“Takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah, moga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Media sebelum ini, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemui maut dipercayai dibunuh di sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, semalam.

Mangsa ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan, kira-kira 5.30 petang.

Susulan itu, tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai ada kaitan kes berkenaan ditahan beberapa jam selepas mayat pelajar perempuan itu ditemui. -BH Online