Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan pemeriksaan menyeluruh dilakukan, termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah susulan kes kematian pelajar Tingkatan Empat di Yong Peng, semalam.

Katanya, syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan berkenaan.

Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tegas Fadhlina, tindakan tegas akan diambil Kementerian Pendidikan (KPM).

“KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak akan mendahului siasatan pihak polis.

“Sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut hantaran itu, Fadhlina memaklumkan beliau berada di Yong Peng pagi tadi untuk mendapatkan sendiri perkembangan berhubung kejadian yang meragut nyawa pelajar perempuan berkenaan.

“Saya menerima taklimat daripada PDRM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah mengenai kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dijalankan.

“Saya turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga.

“Seorang anak sudah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya menambah berdasarkan maklumat PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah dan kemudiannya disahkan meninggal dunia. 

Katanya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan. 

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis. 

“Berikan keluarga ruang dan hormati proses siasatan yang sedang berjalan. Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan sekitar jam 5.30 petang dalam keadaan kritikal oleh rakan dan neneknya selepas tidak pulang ke rumah sebaik kelas tambahan selesai.

Ketika ditemui, terdapat kesan darah kering pada badan remaja berkenaan, selain lebam seolah-olah dipukul dan pasu pecah berdekatan mangsa.-BH Online