Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

NEW YORK: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 di New York dari 23 hingga 27 September ini.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Nadzirah Osman berkata Mohamad Hasan bakal menyampaikan Kenyataan Negara yang menegaskan semula komitmen terhadap multilateralisme, undang-undang antarabangsa serta usaha memperkukuh keberkesanan (PBB).

“Pada ketika multilateralisme dipersoalkan dan berdepan krisis keyakinan yang semakin ketara, masyarakat antarabangsa perlu melangkaui retorik semata-mata dan komited kepada tindakan bersama yang nyata. 

“Tiada mana-mana negara mampu menangani cabaran global hari ini secara bersendirian,” katanya pada sesi taklimat media di sini, hari ini. 

Selain itu, Nadzirah berkata isu Palestin dan ketegangan geopolitik di Asia Barat, reformasi PBB serta Majlis Keselamatan PBB, jurang pembangunan dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Inisiatif UN80 turut dijangka menjadi fokus. 

Kenyataan Negara oleh Mohamad Hasan dijadualkan berlangsung pada sesi Perbahasan Umum UNGA pada 26 September, sekitar jam 4.30 petang waktu New York. 

“Ini adalah kali ketiga Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA sejak mengambil alih portfolio Menteri Luar pada Disember 2023,” katanya. 

Sesi UNGA ke-81 bertemakan Memulihkan Kepercayaan, Mengurus Transformasi: PBB yang Memberikan Manfaat kepada Semua.

Seramai 81 Ketua Negara, seorang Putera Mahkota, lapan Naib Presiden, 50 Ketua Kerajaan, tujuh Timbalan Perdana Menteri dan 42 Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara masing-masing semasa Perbahasan Umum yang akan berlangsung dari 22 hingga 28 September 2026. -BH Online