KOTA BHARU: Jabatan Penjara menafikan dakwaan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman bahawa kehidupan dalam penjara sangat bergantung kepada wang dan pengaruh.
Yasin dalam sebuah podcast baru-baru ini mendakwa kewujudan sistem kasta atau hierarki dalam kalangan banduan berdasarkan faktor kewangan.
Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara, Mohamad Rosidek Musa, berkata sesetengah perkara negatif mungkin berlaku, namun pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang aktiviti itu.
“Dakwaan itu tidak benar kerana dalam konteks kepenjaraan, kita fokus kepada program pemulihan, cuba atasi perkara-perkara yang negatif berlaku di penjara dan benda (dakwaan) itu tidak ada.
“Kita ada SOP dan peraturan untuk mengekang perkara yang negatif dan tidak baik. Kita akui ada perkara mungkin berlaku, tetapi tidak seperti yang dinyatakan,” katanya.
Beliau menegaskan demikian pada sidang media sempena majlis penutup Program Bookathon Jabatan Penjara dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royale Chulan Damansara dan Syarikat Muda Osman (SMO) Bookstores di Blok Wanita Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Mohamad Rosidek tidak pasti motif penyanyi itu membuat dakwaan sedemikian, namun tidak menolak bahawa sosoknya sebagai figura yang dikenali menjadikannya sebagai fokus di platform media sosial.
Beliau berkata, fokus sepatutnya lebih diberikan kepada hal baik berlaku kepada mereka yang dibebaskan dari penjara kerana ramai bekas banduan sudah berjaya.
“Dia (Yasin) baru keluar (penjara), jadi media sosial sedang fokus kepadanya. Pada saya, kalau kita tengok ramai yang bebas dari penjara sudah berjaya. Jadi pada saya kenapa kita nak fokus perkara negatif?
“Kita fokuslah kepada apa yang pihak penjara berjaya buat, namun kadang-kala kita suka cari yang kecil-kecil.Kalau dalam podcast itu pun kita boleh tengok komen daripada netizen dan sebagainya.
“Ada yang negatif dan positif, tetapi kita boleh tengok yang positif dan kami di Jabatan Penjara berusaha untuk memastikan perkara negatif, salah laku dan sebagainya dapat kita tangani dan ambil tindakan,” katanya.
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada November 2023 melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan berkaitan dadah, namun memerintahkan dia ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Terdahulu, Mohamad Rosidek hadir di Penjara Pengkalan Chepa, sempena majlis penutup Program Bookathon Jabatan Penjara dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royale Chulan Damansara dan Syarikat Muda Osman (SMO) Bookstores. -BH Online
