Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa sedih atas penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata pihaknya mengharapkan yang terbaik dapat diberikan kepada Najib. 

“Kami bersedih dengan keputusan itu. Bagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim). Kami merayu supaya gunakan seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan terbaik.

“Kami tetap mendukung institusi Raja dan mengharapkan yang terbaik akan diberikan kepada Datuk Seri Najib,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan mengumumkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat ke-63 lembaga berkenaan yang diadakan hari ini yang turut berkenan membebaskan 65 banduan.

BHEUU memaklumkan semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan. -BH Online