Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari enggan mengulas lanjut dakwaan wujudnya budaya ‘angguk’ dalam kalangan barisan EXCO Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata, dakwaan berkenaan tidak mempunyai asas yang jelas untuk beliau memberikan komen, selain perkara itu di luar konteks tanggungjawabnya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Saya tidak ingin melayan ataupun memberikan sebarang komen berkenaan apa juga percakapan yang mungkin di luar konteks dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Saya tidak tahu siapa yang komen tentang perkara tersebut, ada yang mengatakan budaya angguk dan sebagainya, itu tidak ada satu asas yang jelas,” katanya.

Terdahulu, calon Presiden FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar menyifatkan dakwaan mengenai budaya berkenaan sebagai benar berdasarkan laporan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Mengulas mengenai pemilihan dan pembentukan barisan kepimpinan baharu FAM, Mohammed Taufiq berkata perkara itu perlu diserahkan sepenuhnya kepada persatuan.

“Saya menyerahkan sebarang pemilihan dan juga sebarang pembentukan jawatankuasa dan sebagainya kepada persatuan.

“Tapi apa pun itu, persatuan mesti buat yang terbaik, bukan untuk sesiapa, bukan untuk diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, perkara paling penting adalah memastikan kepimpinan baharu FAM bekerja demi kepentingan badan induk itu, rakyat Malaysia serta peminat bola sepak tempatan.

“Yang lebih penting adalah untuk persatuan itu sendiri dan juga untuk rakyat Malaysia dan juga peminat-peminat sukan di tanah air kita. Itu yang paling penting,” katanya. -BH Online