Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM14.3 juta berjaya diselamatkan dan dipulangkan kepada mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh 12 Oktober 2022 hingga September lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu hasil tindakan pantas pihak berkuasa menyekat transaksi menerusi akaun disyaki terbabit kegiatan penipuan, berdasarkan laporan mangsa.

“Mangsa ditipu membuat aduan kepada pusat berkaitan, kita terus menyekat transaksi akaun, supaya (duit) tidak hilang. Jadi dalam tempoh yang dikatakan tadi, sebanyak RM14.3 juta berjaya diselamatkan.

“Adakah kita berpuas hati? Tidak, kerana kerugian bagi penipuan dalam talian ini besar,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin turut memetik laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang mendedahkan kerugian akibat jenayah siber membabitkan negara-negara Asia Timur termasuk China mencecah RM327 bilion atau AS$80 bilion.

Beliau berkata, laporan bertajuk ‘An Interconnected Criminal Ecosystem: Transnational Organized Crime Threat Assessment for South-East Asia 2026’ itu turut mendedahkan kerugian akibat jenayah sama membabitkan Asia Tenggara mencecah RM81.8 bilion iaitu AS$20 bilion.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang menjadi mangsa penipuan segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi membolehkan tindakan sekatan transaksi perbankan dilaksanakan dengan pantas.

“Sekiranya terjebak, orang ramai diseru menghubungi talian NSRC 997 dengan segera supaya tindakan pantas itu memudahkan pihak berkuasa menyekat transaksi pada beberapa lapisan dalam sistem perbankan.

“Kemudian, semak juga di portal Semak Mule 2.0,” katanya.

Saifuddin berkata, setakat ini 285,000 nombor telefon sudah disemak orang ramai menerusi kemudahan berkenaan sebelum melakukan transaksi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiat operasi dan risikan bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan, termasuk yang mempunyai rangkaian rentas sempadan.

Katanya, 968 serbuan dilaksanakan dengan 7,262 tangkapan direkodkan sepanjang tempoh 2024 hingga September lalu.

“Hasil penelitian lanjut mendapati, 2,912 individu ditangkap ada rekod pernah bekerja atau berada di Kemboja. Ini data unik.

“Maklumat ini tentunya membantu memperkukuhkan risikan dan pemantauan terhadap pergerakan sindiket rentas sempadan,” katanya. 

Mengulas usaha memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara, Saifuddin berkata Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kini memasuki fasa kedua pelaksanaan naik taraf kemudahan teknologi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Katanya, pendekatan kawalan sempadan perlu diperkasakan seiring dengan peningkatan kerumitan jenayah rentas sempadan yang menuntut penggunaan teknologi lebih moden dan berkesan.

“Kawalan sempadan tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama kerana jenayah semakin rumit. Tumpat, Pengkalan Kubor, Sungai Golok dan Rantau Panjang antara pintu masuk antarabangsa dengan negara jiran.

“Oleh sebab itu, AKPS menerusi fasa kedua melengkapkan kemudahan teknologi, termasuk peralatan di pintu masuk yang bersesuaian dengan fungsi mereka dalam mengawal keselamatan sempadan,” katanya. -BH Online