Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang 66 peratus daripada keseluruhan 6,537 kematian akibat nahas jalan raya tahun lalu, biarpun motosikal hanya mewakili sekitar 14 peratus daripada kenderaan yang terbabit dalam kemalangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata angka itu menunjukkan keperluan untuk kerajaan melaksanakan intervensi yang lebih bersasar terhadap kumpulan pengguna jalan raya berisiko tinggi.

Sehubungan itu, kerajaan menetapkan sasaran mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

“Walaupun motosikal hanya mewakili sekitar 14 peratus daripada kenderaan yang terbabit dalam kemalangan, penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan kematian jalan raya dan ini bermakna hampir dua daripada setiap tiga kematian di jalan raya membabitkan penunggang atau pembonceng motosikal.


“Bagi saya, angka ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan secara biasa. Intervensi perlu lebih bersasar kepada kumpulan berisiko tinggi, di samping menangani faktor lain seperti keselamatan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, penguatkuasaan dan perancangan bandar secara lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bil 1/2026 bagi meneliti perkembangan semasa keselamatan jalan raya serta memperkukuh penyelarasan tindakan rentas kementerian, agensi, industri, majikan dan masyarakat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, bagi mencapai sasaran pengurangan kematian 50 peratus menjelang 2030, penyelarasan dasar, sumber dan akauntabiliti antara kementerian serta agensi mesti diperkukuh supaya setiap intervensi bukan sahaja dilaksanakan tetapi menghasilkan pengurangan kematian dan kecederaan serius yang dapat diukur.

Katanya, mesyuarat turut mengambil maklum bahawa kerugian sosioekonomi akibat kematian jalan raya pada 2025 dianggarkan sekitar RM30 bilion berdasarkan pendekatan ‘Value of Statistical Life’ (VOSL).

“Ini membuktikan bahawa pelaburan dalam keselamatan jalan raya bukan sekadar perbelanjaan tetapi pelaburan untuk menyelamatkan nyawa, melindungi keluarga dan mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada keselamatan pekerja ketika perjalanan apabila data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan kadar kematian akibat kemalangan perjalanan pekerja pada 2025 adalah 2.4 kali ganda lebih tinggi berbanding kemalangan industri.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan Ops Cegah akan diperkukuh melalui kerjasama PERKESO, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan majikan dengan menggunakan data bagi mengenal pasti organisasi serta kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata, pendekatan keselamatan jalan raya juga perlu membabitkan kerajaan, industri, majikan dan masyarakat secara bersama bagi membentuk budaya keselamatan yang lebih kukuh.

“Kerajaan boleh menyediakan dasar, infrastruktur, teknologi dan penguatkuasaan, tetapi budaya keselamatan hanya dapat dibentuk apabila industri, majikan dan setiap pengguna jalan raya memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat memberikan perhatian kepada perancangan penyuraian trafik menjelang pengoperasian RTS Link Johor Bahru–Singapura, yang bakal mengubah corak pergerakan pengguna, khususnya di sekitar pusat bandar Johor Bahru dan kawasan yang mempunyai hubungan terus dengan sistem berkenaan.

Katanya, ia termasuk penyelarasan antara agensi serta integrasi dengan sistem pengangkutan awam bagi mengelakkan pembentukan titik kesesakan baharu.

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi pengangkutan awam yang lebih bersepadu, cekap, selamat dan mesra rakyat, khususnya dalam menyokong mobiliti rentas sempadan yang lebih lancar,” katanya. -BH Online