KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu usahawan tempatan beralih daripada sekadar menghasilkan produk di Malaysia kepada membangunkan produk yang direka, dicipta dan dimiliki rakyat tempatan bagi meningkatkan daya saing jenama negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata perubahan daripada konsep ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ penting bagi memastikan produk tempatan tidak hanya bersaing berdasarkan harga.
Katanya, jenama Malaysia perlu berasaskan nilai, keyakinan pengguna serta inovasi bagi membolehkan produk tempatan menembusi pasaran lebih luas.
“Tiga perkara utama ialah jenama Malaysia harus mencerminkan nilai dan bukan harga semata-mata, memberikan keyakinan kepada pengguna dari segi keselamatan, kesihatan dan kebersihan serta mempunyai daya inovasi yang lebih rancak.
“Kita harus beransur-ansur beralih kepada model Made by Malaysia, iaitu produk yang direka, dicipta dan dibuat oleh orang Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program BrandQuest 2026 dan Majlis Apresiasi National Mark of Malaysian Brand (NMMB), di sini hari ini.
Sim berkata, pendekatan berkenaan amat penting terutamanya ketika dunia berdepan keadaan ekonomi yang bergolak dan persaingan pasaran yang semakin sengit.
Katanya, dalam mencapai usaha berkenaan, kementerian turut memperuntukkan RM230,000 bagi membantu kira-kira 40 syarikat tempatan mendapatkan pensijilan ‘Malaysian Brand’ atau NMMB dalam usaha memperkukuh daya saing produk negara di pasaran global.
“Sudah tentu kita akan melihat peruntukan ini dari semasa ke semasa dan jika ada keperluan kita akan tingkatkan jumlahnya untuk membantu sektor ini,” katanya.
Beliau berkata Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas kukuh untuk membangunkan jenama bertaraf global dengan 100 jenama Malaysia terbesar pada 2025 mempunyai nilai keseluruhan hampir AS$60 bilion berdasarkan laporan Brand Finance.
NMMB adalah satu inisiatif pensijilan penjenamaan bagi mengiktiraf produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menepati nilai Kualiti, Kecemerlangan dan Keunggulan.
Program kerjasama antara SME Corp Malaysia bersama SIRIM QAS International Sdn Bhd itu bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi ia adalah simbol kepercayaan dan kredibiliti yang membuka peluang lebih luas di pasaran tempatan dan antarabangsa.-BH Online

