Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan
dana RM668 juta untuk pembinaan 517 bilik darjah tambahan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan modul Sistem Binaan Berindustri (IBS) diluluskan kepada Kementerian Pendidikan sebagai persiapan kemasukan murid Tahun Satu pada sesi persekolahan tahun depan.
Katanya, sebanyak 517 surat setuju terima projek sudah dikeluarkan kepada kontraktor.
“Semua projek pembinaan bilik darjah tambahan perlu disiapkan sebelum akhir tahun ini sebagai persediaan awal Kementerian Pendidikan menerima kemasukan murid Tahun Satu pada sesi persekolahan tahun depan,” katanya di sini, hari ini.
Ahmad berkata demikian dalam majlis penyerahan projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Jembal kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ahmad berkata, Selangor negeri tertinggi menerima pembinaan bilik darjah tambahan, iaitu 143 projek.
Beliau berkata, JKR Terengganu pula menyelia 111 projek membabitkan dana RM302 juta, iaitu pembinaan dewan terbuka berbumbung dan bilik darjah tambahan.
Ketika mengulas mengenai projek KPM di Terengganu, Ahmad berkata, JKR negeri sedang menyelia 111 projek membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM302 juta.
Katanya, antara projek dilaksanakan adalah pembinaan dewan terbuka berbumbung selain pembinaan bilik darjah tambahan.
“Sejak Januari lalu, sebanyak 37 projek bernilai RM85 juta dengan rekod penyiapan kumulatif awal sebanyak 2,697 hari disiapkan.
“Kementerian melalui JKR negeri sudah menyerahkan 14 projek pembangunan aset pendidikan yang berjaya disiapkan mendahului jadual,” katanya. -BH Online
