KUALA LUMPUR: Malaysia masih perlu mengimport minyak mentah walaupun mempunyai pengeluaran minyak sendiri kerana penggunaan dalam negara yang jauh lebih tinggi, iaitu kira-kira 700,000 tong sehari berbanding pengeluaran hanya 350,000 tong sehari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata minyak mentah ini kemudiannya ditapis dan diproses bagi menghasilkan beberapa jenis produk petroleum yang lain seperti petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak kapal terbang dan lain-lain subproduk.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Singapura menjadi negara sumber import utama produk petroleum memandangkan negara itu merupakan hab penapisan, penyimpanan dan perdagangan produk petroleum utama di rantau Asia.
“Kedudukan negara itu yang berhampiran Malaysia dengan kapasiti penapisan yang besar serta rangkaian logistik yang cekap membolehkan bekalan produk petroleum diperoleh lebih cepat, berdaya saing dan berterusan bagi memenuhi keperluan pasaran domestik,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang mminta Menteri Kewangan menyatakan peratus penggunaan domestik petrol, diesel, bahan api penerbangan dan gas petroleum cecair (LPG) yang ditapis di dalam negara berbanding yang diimport.
Menurut Perdana Menteri, bekalan minyak mentah bagi kegunaan Malaysia diperoleh daripada gabungan pengeluaran domestik dan import.
“Secara keseluruhannya, sekitar 48 peratus bekalan adalah daripada pengeluaran domestik, manakala bakinya diperoleh melalui import, iaitu 38 peratus melalui laluan Selat Hormuz, tujuh peratus dari rantau Asia Tenggara, Afrika Barat dan sumber lain, serta tujuh peratus lagi dari Asia Barat dan negara-negara lain,” katanya.
Bagi pasaran diesel, Anwar berkata Singapura secara konsisten mendominasi kedudukan sebagai negara sumber import paling utama bagi tahun 2024 sehingga separuh tahun 2026 meskipun mencatatkan pola penurunan dari tahun ke tahun.
Beliau berkata pada tahun 2024, jumlah import merekodkan angka tertinggi iaitu sebanyak 542 juta liter, sebelum menyusut kepada sejumlah 492 juta liter pada tahun 2025.
Katanya, jumlah import diesel dari Singapura sehingga separuh tahun 2026 adalah sekitar 93 juta liter.
“Sementara itu, pasaran petrol turut memperlihatkan penguasaan bekalan dari Singapura. Produk petrol import dari Singapura pada 2024 adalah 61 juta liter sebelum meningkat kepada sekitar 68 juta liter pada 2025.
“Bagi perkembangan terbaharu sehingga separuh tahun 2026, jumlah import petrol yang direkodkan adalah sebanyak 21 juta liter,” katanya.
Beralih kepada segmen LPG, landskap pasaran mempamerkan persaingan yang lebih kompetitif antara beberapa negara sumber import utama.
Pada 2024, pasaran diterajui oleh tiga negara terbesar iaitu Singapura yang mendahului sebanyak 307 juta kilogram, diikuti rapat oleh Amerika Syarikat (AS) sebanyak 253 juta kilogram dan Norway sekitar 239 juta kilogram.
Memasuki 2025, kedudukan ini berubah apabila AS menjadi negara sumber import terbesar untuk Malaysia dengan jumlah import sebanyak 299 juta kilogram, Singapura sebanyak 269 juta kilogram dan Norway sekitar 198 juta kilogram.
Bagaimanapun, bagi tempoh separuh tahun 2026, Singapura kembali menerajui pasaran dengan menjadi sumber import sebanyak 135 juta kilogram disusuli dengan Norway sebanyak 98 juta kilogram dan Thailand dengan jumlah import sebanyak 28 juta kilogram. -BH Online
