Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Trend penyakit tidak berjangkit (NCD) khususnya diabetes dalam kalangan belia di bawah 30 tahun amat membimbangkan. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata berdasarkan data Daftar Diabetes Kebangsaan (NDR), sebanyak 1,926 kes baharu diabetes dalam kalangan golongan belia direkodkan pada 2024, meningkat kepada 1,932 kes pada 2025, manakala sebanyak 660 kes lagi direkodkan setakat Jun tahun ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) sejak 2022, individu didiagnos dengan diabetes jenis 2 pada usia yang lebih muda iaitu seawal 14 tahun.

“Dapatan ini menunjukkan bahawa terdapat golongan muda yang sebenarnya mempunyai faktor risiko atau penyakit tidak berjangkit tanpa disedari.

“Ini adalah satu isyarat amaran bahawa diabetes jenis 2 bukan lagi penyakit yang hanya membabitkan golongan dewasa, malah kini turut menjejaskan remaja dan belia,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai statistik terkini kes penyakit tidak berjangkit bagi 2024 hingga 2026, khususnya membabitkan peningkatan kes diabetes dan hipertensi dalam kalangan golongan belia bawah 30 tahun.

Selain itu, Richard juga ingin tahu sejauh mana keberkesanan kempen War on Sugar dan penguatkuasaan cukai gula dalam menurunkan kadar obesiti nasional.

Dr Dzulkefly berkata, Kajian Penilaian Impak dan Keberkesanan Pengenaan Cukai Terhadap Minuman Manis Bergula di Malaysia pada 2024 mendapati pelaksanaan memberi impak positif terhadap corak pengambilan minuman bergula termasuk pengurangan pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja daripada 36.9 peratus kepada 16.4 peratus.

Mengulas mengenai pelaksanaan NHSI, beliau berkata, seramai 347,813 individu berusia 18 hingga 30 tahun sudah disaring.

“Daripada jumlah berkenaan seramai 341,257 orang (98.1 peratus) tidak mempunyai sejarah NCD; 

“Selain itu, seramai 11,751 orang (3.4 peratus ) dikenal pasti mempunyai paras glukosa darah yang tinggi.

“Seramai 30,170 orang (8.8 peratus) pula didapati mempunyai bacaan tekanan darah yang tinggi,” katanya. 

Katanya, NHSI bukan sahaja memperluaskan akses kepada saringan kesihatan, malah berperanan sebagai strategi pengesanan awal yang berkesan untuk mengenal pasti individu yang belum didiagnosis supaya rawatan, kaunseling serta intervensi perubahan gaya hidup dapat dimulakan lebih awal. -BH Online