KUALA LUMPUR: Penyebaran ajaran sesat di alam maya dan dijalankan secara tertutup atau berselindung di sebalik program lain menjadi antara cabaran kepada usaha kerajaan mengekang ajaran yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa proaktif, konsisten dan tegas dalam memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana doktrin atau dakyah yang menyeleweng.
Bagaimanapun beliau berkata, evolusi digital membawa cabaran baharu, yang mana ajaran sesat kini berubah daripada pertemuan fizikal secara rahsia kepada penggunaan platform media sosial dan aplikasi mesej tertutup.
“Peralihan ke alam maya ini secara tidak langsung menyukarkan usaha pengesanan awal oleh agensi penguatkuasaan berikutan dakyah digital sebegini bergerak bebas melangkaui sempadan geografi.
“Selain itu, terdapat kumpulan tertentu yang beroperasi secara tertutup dan berselindung di sebalik program lain, seperti pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif serta pengajian agama tidak formal bagi menarik dan mempengaruhi masyarakat.
“Sesetengah fahaman ini juga tidak lagi tampil dalam bentuk ajaran agama yang jelas, sebaliknya berlatar belakangkan elemen motivasi, kerohanian, psikologi, teori konspirasi atau pengaruh tokoh tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai kekangan kerajaan dalam menangani penularan ajaran sesat di Malaysia, jumlah tangkapan dan langkah intervensi bagi mengukuhkan akidah kumpulan yang jauh menyeleweng.
Zulkifli berkata, hasil kerjasama bersepadu antara JAKIM, JAIN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), beberapa kes ajaran berjaya dikesan, dengan sejumlah individu ditahan.
Antaranya, melalui tindakan penguatkuasaan secara bersemuka, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan PDRM menahan 288 arang Jemaah Ahmadiyah Qadiani pada 31 Mei lalu di Sabah.
Selain itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyerbu sebuah markas Syiah di Petaling Jaya, dan menahan 226 warga asing.
Zulkifli, berkata JAKIM dan JAIN juga melaksanakan beberapa langkah intervensi menyeluruh dan bersepadu bagi menyelamatkan akidah individu terbabit dalam jangka masa panjang.
“Antara yang dilaksanakan adalah menyediakan khidmat nasihat secara berkala dan berfokus kepada ahli serta pemimpin kumpulan itu.
“Selain itu, menempatkan individu yang tersasar di pusat pemulihan akidah berwarta, berdasarkan perintah Mahkamah Syariah dan melaksanakan program rehabilitasi serta bimbingan akidah di bawah pengurusan pihak berkuasa agama,” katanya.
Zulkifli turut menegaskan, agenda pengukuhan akidah dalam kalangan orang awam bukan satu perkara bermusim.
“Justeru, kerajaan menyeru dan mengingatkan orang awam supaya berusaha memperkukuh akidah melalui kelas pengajian agama yang berautoriti di masjid, surau dan institusi di seluruh negara,” katanya. -BH Online
