KOTA BHARU: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan 50 daripada 865 projek di seluruh negara dikenal pasti berstatus ‘sakit’ dan kini dalam pemantauan rapi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tujuh daripada 50 projek sakit dikenal pasti itu berada di Kelantan.
Setiap projek sakit, katanya akan dipantau rapi bagi mengenal pasti punca selain melihat kepada peratusan projek yang sudah siap.
“Antara yang menyumbang kepada projek sakit adalah faktor kewangan syarikat, selain pengurusan syarikat yang lemah, bukannya disebabkan kelemahan kontraktor semata-mata.
“Kesan daripada projek sakit itu juga menyebabkan kita membuat keputusan untuk menamatkan kontraktor yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat projek menaik taraf jalan dari persimpangan Pasir Hor ke Panchor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata beliau melantik Timbalannya (Datuk Seri Ahmad Maslan) untuk memantau perkembangan projek sakit dari semasa ke semasa.
“Kita sentiasa memantau dan setiap minggu menerusi mesyuarat pasca Kabinet kita juga membincangkan isu projek sakit
“Setiap keputusan diambil termasuk menamatkan kontraktor, kita perlu membuat keputusan secara teliti bagi mengelak tindakan undang-undang diambil selain berlaku pertambahan kos untuk lantikan kontraktor yang baharu.
“Jika peratusan projek sudah hampir siap, kita mungkin memberi tempoh masa untuk menyiapkannya,” katanya. -BH Online
