KUALA LUMPUR: Jumlah murid berbangsa Cina yang mengikuti pendidikan menengah di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) adalah lebih tinggi berbanding menerusi sistem pendidikan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). null
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pada tahun ini, jumlah murid berbangsa Cina di sekolah KPM adalah seramai 260,699 orang.
Katanya, seramai 75,144 murid berbangsa Cina mengikuti pendidikan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan 51,563 orang di institusi pendidikan swasta.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan murid menengah berbangsa Cina berjumlah 387,406 orang.
“Berdasarkan data berkenaan, 19.4 peratus murid berbangsa Cina mengikuti sistem pendidikan UEC, 67.3 peratus mengikuti pendidikan menengah di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan 13.3 peratus lagi di institusi pendidikan swasta,” katanya katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) yang minta menteri menyatakan peratusan pelajar Cina yang menggunapakai sistem pendidikan UEC berbanding mengikuti sekolah aliran kebangsaan. -BH Online
