Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) pada 8 Jun lalu bagi mengeluarkan notis merah terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang dipercayai masih berada di luar negara bagi mengesan serta membawanya pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes provokasi agama.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata permohonan itu dibuat selepas PDRM turut memohon pembatalan pasport suspek sebagai sebahagian daripada usaha mengesan keberadaannya.

Beliau berkata, semakan rekod pergerakan keluar masuk negara bersama Jabatan Imigresen mendapati Tamim Dahri masih berada di luar negara.

“Bagi tujuan mengesan dan membawa balik suspek, PDRM sudah memohon pembatalan pasport suspek dan kemudiannya telah mengemukakan permohonan Red Notice kepada pihak Interpol pada 8 Jun lalu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai status tindakan PDRM mengesan Tamim Dahri.

Pada 17 Mac lalu, media melaporkan Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap Tamim Dahri selepas dimaklumkan bahawa dia dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan negara melalui Bukit Kayu Hitam ke Thailand pada 9 Mac sebelum dikesan berada di Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan belum dapat mengesahkan sama ada dia memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau visa umrah.

Pada 17 Mei lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas suspek.

Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam, yang merupakan simbol suci penganut Hindu, di tapak lama sebuah kuil di Langkawi. -BH Online