PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan penyertaan 1.8 juta pelajar dan belia dalam Malaysia Techlympics 2026 (MT2026), sebagai usaha memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang, berkata program memasuki edisi kelima itu menyasarkan generasi muda berusia enam hingga 30 tahun menerusi pertandingan berimpak tinggi, program jangkauan keterangkuman serta aktiviti pendidikan dan latihan di luar bilik darjah.
Katanya, bagi edisi kali ini, MT2026 memperkenalkan AiRIMAU iaitu platform pembelajaran pintar yang membolehkan peserta meneroka teknologi ‘Agentic Artificial Intelligence’ (Agentic AI) menerusi pengalaman pembelajaran lebih interaktif dan praktikal.
“Pengenalan platform ini mencerminkan komitmen MOSTI untuk memastikan generasi muda Malaysia mendapat pendedahan awal kepada teknologi masa hadapan serta membina keupayaan mereka untuk memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kreatif dan beretika,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, MOSTI melancarkan video promosi MT2026, antara inisiatif utama pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi (STI) yang dilaksanakan sejak 2022.
Sebanyak 90 pertandingan membabitkan 182 modul STI ditawarkan tahun ini, berbanding 93 modul pada tahun lalu.
Ia merangkumi bidang tenaga baharu, dron, robotik, kejuruteraan, forensik, percetakan 3D, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pengkomputeran awan, bioteknologi dan teknologi hijau.
Penganjuran MT2026 turut digerakkan secara kolaboratif dengan kerjasama pelbagai kementerian dan jabatan, khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), selain agensi kerajaan, rakan industri serta kerajaan negeri.
Dalam pada itu, program jangkauan keterangkuman turut dilaksanakan di beberapa sekolah luar bandar terpilih bagi memperkukuh ekosistem pendidikan STEM serta menyemarakkan minat pelajar dan belia terhadap pendidikan berasaskan STI.
Program berkenaan juga memberi penekanan kepada penyertaan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Pertandingan saringan MT2026 peringkat zon akan berlangsung dari Julai hingga September ini membabitkan Zon Selatan, Tengah, Timur, Timur 2, Utara, Sabah dan Sarawak.
Peringkat Akhir Kebangsaan Malaysia Techlympics 2026 pula dijadual berlangsung pada November depan di Malaysia Agro Exhibition Park Serdang (MAEPS), Serdang. -BH Online
