KUALA LUMPUR: Kerajaan akan segera mengusir rakyat Israel yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan dan menetap di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri dalam nada tegas berkata, Malaysia tidak akan berkompromi dengan keadaan itu, jika dakwaan terbabit terbukti benar.
Beliau juga menegaskan semua agensi berkaitan sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan berkenaan, selain Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu.
“Semua agensi berkaitan (sedang menyiasat dakwaan ini) dan saya percaya Zambry akan beri jawapan. Kita siasat dan tidak izinkan (rakyat Israel menetap di Malaysia) kerana kita tidak iktiraf (Israel).
“Mereka akan diusir segera (jika terbukti dakwaan terbabit benar). Tetapi (dakwaan) ini semua agensi sudah menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengulas gesaan kerajaan Johor yang meminta pihak berkuasa menyiasat komuniti teknologi di Forest City yang dikenali sebagai ‘Network School’ susulan ada dakwaan warga Israel dengan dua kerakyatan menetap di kawasan terbabit.
‘Network School’ ialah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian, dilancarkan pelabur teknologi, Balahi Srinivasan, pada 2024.
Komuniti itu menyasarkan golongan digelar ‘techno-optimist’ dan mengenakan bayaran bernilai AS$1,500 (RM6,118.50) sebulan bagi penginapan, makanan dan perkhidmatan lain, termasuk akses ke gimnasium.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, meminta Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis dan agensi lain memeriksa tahap kerakyatan individu terbabit bagi menentu sama ada mereka menggunakan pasport kedua untuk mendiami di komuniti itu.
Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Digital memeriksa status ‘Network School’ yang dikatakan tidak menyediakan perkhidmatan pendidikan atau meletakkan statusnya sebagai institusi pengajian tinggi. -BH Online

