Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membidas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang melabel Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai ‘lembab seperti kura-kura’ berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Kritikan Kor Ming itu dibuat berhubung pelaksanaan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan UEC ke universiti awam.

Zambry berkata, setiap keputusan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah keputusan bersama berlandaskan prinsip tanggungjawab kolektif (collective responsibility). 

“la akan disusuli dengan tindakan menyeluruh dan proses yang turut membabitkan penyelarasan dengan Kementerian Pendidikan dan pelbagai agensi berkaitan.

“Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan malam tadi. 

Beliau berkata, keputusan Jemaah Menteri sewajarnya dihormati semua anggota pentadbiran. 

“Saya memandang serius dan membidas sekeras-kerasnya kenyataan tidak bertanggungjawab Kor Ming berhubung pelaksanaan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan UEC itu,” katanya. 

Kor Ming dilapor membuat dakwaan itu ketika berceramah pada kempen Pilihan Raya Negeri Johor di Kampung Abdullah, Segamat.

Pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan sempena Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 mengumumkan rakyat di semua aliran sekolah termasuk sekolah yang menawarkan UEC, wajib mengambil subjek bahasa Melayu dan sejarah Malaysia, justeru laluan mereka untuk ke pendidikan tinggi tidak lagi harus menjadi kontroversi.

Pada majlis sama, Zambry pada sidang media mengumumkan kerajaan akan melaksanakan suatu penyelarasan, antara KPT dan Kementerian Pendidikan.

Pada 14 Mei, KPT mengumumkan calon lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam.

Pada 16 Mei, Anwar menegaskan kelulusan diberikan kepada lulusan UEC untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam tidak seharusnya dipolitikkan.-BH Online