KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan fahaman ekstremis dan radikal berkembang kerana boleh mengancam keamanan, kestabilan serta perpaduan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini.
Beliau berkata, kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia perlu dipelihara daripada sebarang ideologi sempit yang berpotensi memecah-belahkan rakyat dan menggugat keharmonian yang telah sekian lama dibina.
“Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum, berbilang kepercayaan dan budaya. Kita tidak mampu untuk ada fahaman-fahaman ekstremis mahupun radikal kerana ia bukan sahaja boleh menggugat keamanan, kestabilan dan perpaduan yang telah lama wujud dalam masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara Tahun 2026 di Hikmah Exchange & Event Centre, di sini, hari ini.
Fadillah berkata usaha membendung fahaman radikal perlu bermula dengan melahirkan masyarakat yang progresif, sederhana dan berpegang kepada nilai murni melalui proses pendidikan yang menyeluruh.
Beliau berkata, antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah pendidikan pembinaan sahsiah, termasuk pendidikan akhlak dan tasawuf yang mampu memperkukuh kekuatan dalaman seseorang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.
Katanya, pembentukan sahsiah yang baik akan melahirkan individu yang mengamalkan nilai kesederhanaan, kasih sayang serta semangat tolong-menolong, sekali gus menjadi benteng terhadap pengaruh fahaman ekstremis.
“Nilai-nilai inilah yang sepatutnya dibentuk dalam masyarakat di Malaysia supaya rakyat sentiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Fadillah berkata, Malaysia sememangnya berdepan kewujudan kumpulan yang membawa fahaman ekstremis dan radikal, justeru tindakan awal perlu diambil sebelum pengaruh mereka semakin meluas.
Beliau berkata, semua institusi termasuk institusi keluarga, pendidikan dan masyarakat perlu memainkan peranan secara bersepadu bagi memastikan fahaman sempit yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar dapat dibendung.
Menurutnya, dalam dunia yang semakin mencabar, penyebaran fahaman radikal kini menjadi lebih kompleks apabila ia bergerak melalui media sosial, platform digital dan pelbagai saluran komunikasi yang sukar dikawal.
Beliau berkata, golongan berkenaan sering memperalatkan agama untuk menyemai kebencian, memecah-belahkan masyarakat, mengkafirkan pihak lain tanpa asas yang sah serta menolak pendekatan kesederhanaan yang menjadi teras ajaran Islam.
Ketika ditanya sama ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dikembalikan bagi menangani ancaman berkenaan, Fadillah berkata keputusan dasar mengenainya sudah dibuat sebelum ini, namun kerajaan akan terus memperkukuhkan kerangka perundangan sedia ada dengan mengambil kira pelbagai faktor.
Beliau berkata, walaupun Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih berkuat kuasa, kerajaan perlu mengimbangi keperluan menjaga keselamatan negara dengan pematuhan terhadap piawaian dan penilaian masyarakat antarabangsa.
“Namun, pembentukan sahsiah adalah pendekatan paling berkesan, manakala tindakan perundangan hanya menjadi pilihan terakhir,” katanya. -BH Online
